24 November 2009

"KEJUJURAN & IKHLAS DALAM KESENIAN"

Akal fikir ku selalu menayakan aku, apakah aku jujur dan ikhlas dalam melewati dunia seni yang aku ceburi..? Apakah sahabat-sahabat yang lain juga jujur dan ikhlas dalam perjuangan yang sama..? Aku melihat.., aku mendengar.., aku merasai dan aku melalui... Apa yang nampak adalah kehampaan dalam persoalan kejujuran dan keikhlasan itu.

Bagi aku, kejujuran dan keikhlasan adalah paksi dalam hidup. Walau dalam lapangan apa pun, kejujuran dan keikhlasan itu adalah tapak dasar yang terutama.  Kejujuran dan keikhlasanlah tali pengkitat ke-eratan dalam memacu sama sesuatu lapangan. Tanpanya, apa pun akan goyah dan akan pula mudah runtuh.

Dalam dunia kesenian sinema, hal ini tidak terkecuali dari kewajipan untuk diamalikan. Gunanya untuk menghasil karya teragung, dari segala sudut apa pun yang berkaitan dengannya. Bermula dari sudut pemodal (producer & pentadbiran), tenaga-tenaga kreatif (pengarah & produksi), mahu pun para pelakon, Kejujuran dan keikhlasan hati jangan sampai terlepas pandang. Kerana kebanyakkan dari masalah-masalah yang sering berlaku dalam pembikinan kesenian sinema, adalah kerana rendah atau hilangnya sifat kejujuran dan keikhlasan hati para penggiatnya. Sehingga bermaharajalela-lah kezaliman, penipuan, pembohongan, dan ketidakadilan yang akhirnya membawa kepada kesulitan dan kegagalan. Lebih mendukacitakan lagi, sifat-sifat khianat yang lahir dari hati yang tidak jujur dan ikhlas ini seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan dan budaya dalam industri sinema. Inikah yang kita inginkan sebenarnya..?

Alangkah indahnya jika usaha untuk membikin sinema itu di dasari dengan kejujuran dan keikhlasan. Jujur dan ikhlas dalam berkarya, jujur dan ikhlas dalam hubungan peribadi dengan peribadi, jujur dan ikhlas dalam ilmu kesenian sinema, serta jujur dan ikhlas dengan tugas-tugas yang terpikul di atas bahu-bahu. Jujur dan ikhlas akan dapat mewujudkan kerjasama yang erat, hubungan yang tidak menilai darjat, dan tolak ansur dalam menghadapi kekurangan. Jauh dari itu, jujur dan ikhlas akan dapat dilihat di akhir karya sesebuah sinema. Dapat dikongsi dan dihayati dengan tidak ada cacat cela.

Renungkanlah dengan mendalam akan perihal ini. Tak perlu aku bercakap dan menyelak aib satu persatu peribadi. Kerana masing-masing faham dan sudah melalui. Kecuali mereka yang masih terikat dengan kepentingan-kepentingan peribadi yang berhati mati. Wariskanlah sesuatu yang indah pada generasi yang bakal datang. Bukan meninggalkan bekas hitam untuk mereka bersihkan. Yang kemudian nanti kita juga yang akan dipersalahkan. Kerana kecuaian dan kegagalan dalam membentuk tamadun yang boleh dipandu zaman. Sekian.

22 November 2009

KE MANA ARAH CINEMA KITA

CINEMA..!!! CINEMA..!!! CINEMA..!!!! Semua orang yang menceburi bidang ini sibuk melemparkan pandangan mereka mengenai cinema. Daripada asal mula wujudnya, perkembangannya, kiblat-kiblat terkininya, sehinggalah teknik-teknik sudah diperdebatkan sehari-hari. Tapi ke mana sebenarnya arah tuju cinema kita, amat jarang sekali aku dengar keluar dari mulut-mulut mereka. Kalau ada sekali pun, sekadar melepaskan batuk di tangga. Atau terkongkong dengan ikutan semata-mata. Realitinya, cinema kita terlalu jauh ketinggalan jika di bandingkan dengan kemajuan cinema-cinema dari negara yang dulu jauh di belakang kita.


Aku selalu tertanya-tanya, berwajah apakah cinema kita ini..? Ke mana hala tuju cinema kita yang sepatutnya sudah berkembang jauh jika di lihat dari perkembangan cinema di zaman P. Ramlee. Jangankan perkembangan isu atau jalan penceritaan, teknik-teknik pembikinan juga terlalu jauh jika nak diukur dengan lambakkan teknik yang sedia ada. Malah ada yang melanggar langsung teknik-teknik asas pembikinan cinema. Jauh lagi kalau nak diperkatakan tentang hala tuju cinema kita. Sebagai contoh, shot-shot bodoh selalu dijamu kepada penonton tanpa membawa maksud bahasa visual sedikit pun. Shot diguna pakai sesuka hati, tanpa dapat membantu mood penceritaan itu sendiri. Pada hal apabila aku melihat cinema dari luar, shot juga memainkan peranan penting dalam membawa maksud dan menyentuh perasaan penonton. Tapi hal itu seperti tidak diendahkan walau sedikit pun. Keluar dari itu, kalau mendengar debat perbincangan mereka yang terlibat dalam bidang ini, terlalu mudah sangat mereka menceritakan teknik-teknik pembikinan cinema luar. Hakikatnya cakap mereka hanya sekadar cakap, tapi tak ada apa pun yang ditimba. Sekadar nak memberitahu, AKU HEBAT DALAM PEMBIKINAN CINEMA..!!!! Ah..!!! mengarut semua tu!!


Mungkin aku bukan orang yang layak dalam memperkatakan perkara ini. Tapi ke mana perginya orang-orang layak..? Jawapannya, ditekan, dipijak dan dicampak oleh pembikin cinema bodoh. Kita sebenarnya mempunyai sedikit 'film-maker' yang baik. Tapi kerana ruang yang ditutup, maka mereka tidak dapat mengetengahkan kehebatan yang ada pada mereka. Mengapa berlakunya hal yang semacam ini..? Inikah hala tuju cinema kita, yang mengenepikan orang hebat dan mengenengahkan orang bodoh..?


Terbaru, aku sering berkumpul dan memperdebatkan perihal cinema dengan director filem 'Budak Kelantan'. Bagi aku selain nama-nama besar seperti U-Wei, dia juga arif dalam bidang ini. Kami membincangkan tentang cinema dan hala tuju penggiat-penggiatnya. Hasilnya, KAMI SANGAT KECEWA..!! Tapi kekecewaan bukanlah sebab untuk mengalah. Lalu ke mana hala tuju cinema kita harus dibawa..?


Kita sudah terbiasa dengan cinema-cinema lemah yang ada. Sekarang kita harus memperkuatkan cinema kita sebelum bersaing dengan cinema-cinema luar. Untuk memperkuatkan cinema kita, mustahil kita dapat menyaingi kehebatan cinema luar dari segi dana pembikinannya. Ya, itu satu persoalannya juga. Tetapi kita sebenarnya masih ada ruang untuk menyaingi cinema luar dari segi persembahan nilai-nilai penceritaan kita. Bagi aku itu yang terlebih utama. Siapa pun tak dapat menolak bahawa cinema adalah salah satu wadah untuk membentuk sahsiah peribadi kemanusiaan dan ke-Tuhanan dalam masyarakat. Mengapa kita tidak mahu menjuruskan cinema kita ke arah itu..? Mengapa kita sibuk berlumba-lumba untuk menyaingi kelebihan adegan-adegan filem luar yang memerlukan belanja yang banyak, sedang kita tidak punya modal..? Contohnya adegan-adegan letupan dalam cinema. Sekali kita gunakan adegan itu, 15 kali filem luar gunakan dalam setiap cinema mereka. Kalau dah macam tu, dapatkah kita tandingi mereka..? Kenapa kita tak mahu mencari dan mengenengahkan apa yang tidak ada dalam cinema luar itu..?


Mungkin ada yang beranggapan, mana ada kelainan yang boleh diketengahkan lagi. SALAH..!!! Iran dan Korea menyaingi kehebatan filem Hollywood, bukan dengan apa yang diguna pakai pembikin filem Hollywood. Tetapi dengan nilai kemanusiaan yang diterjemahkan dalam filem mereka. Tak perlu pun adegan-adegan berahi, ganas, lawak bodoh atau memenangkan hero. Cukup dengan menyajikan nilai-nilai kemanusiaan dan ke-Tuhanan dalam cinema mereka. Ertinya, mereka membuka ruang kepada penonton bukan semata-mata dari sudut hiburan semata. Tapi pengajaran dalam membentuk sahsiah peribadi masyarakat serta mendekatkan penonton kepada Tuhan, seperti yang diketengahkan oleh cinema dari Iran. Berbentuk apakah cinema itu..? Itulah salah satu dari bentuk Cinema Fitrah. Cinema yang dekat dengan kehidupan para penonton itu sendiri. Cinema yang dapat menawarkan sesuatu kebaikan ke dalam diri penonton. Kebaikan dari sudut apa..? Kebaikan dari sudut kemanusiaan dan ke-Tuhanan. Dua kelompok spiritual yang disatukan. Itulah SINEMA FITRAH. Cinema yang belum dikembangkan dalam dunia cinema kita.


Lalu apa yang harus kita lakukan sekarang..? Ke mana arah cinema kita harus dibawa..? Persoalan ini terpikul di atas bahu-bahu penggiat cinema kita. Tanggungjawab yang nanti akan dipersoalkan oleh generasi-generasi cinema akan datang. Maka jalannya adalah, membuka ruang kepada pengkarya-pengkarya hebat kita dalam membawa hala tuju cinema kita. Bukan kepada penggiat-penggiat yang mencari keuntungan semata, dan tidak juga dicatur oleh politik kita. Sekian.

19 November 2009

Pengenalan Kefahaman Seni Sufi

Salam... Bismillahir rahmanir rahim... Terpanggil oleh kesadaran terhadap amanah lapangan bidang yang aku ceburi, maka salah rasanya jika aku tidak menyatakan apa yang aku ketahui. Kesenian itu sebenarnya tidak dapat tidak, pasti terkait dengan terjemahan rasa dari dalam jiwa manusia. Jika tanpa terkait dengan rasa dari dalam jiwa, maka kesenian itu akan menjadi kosong dan tidak berharga lagi. Jesteru kesadaran untuk meruntun kebangkitan rasa jiwa itu sangat perlu, demi menjaga keaslian kesenian agar tidak terkeluar dari garis-garis Agama dan ke-Tuhanan. Dengannya, hati jiwa akan lebih terhibur dan merasa penuh terisi.

Kesenian itu sebenarnya telah wujud seawal wujudnya yang bernama Adam, lalu berkembang ia dari zaman ke zaman. Berkembang dari sudut pemikiran rasa, sehingga terwujudnya kesenian-kesenian baru sesuai dengan zaman-zaman hidupnya kesenian itu. Maka dari itu, nyatalah bahawa kesenian itu juga telah dikurniakan Allah untuk dipergunakan sebagai lapangan dakwah selain untuk menghiburkan hati manusia. Nah, inilah tugas-tugas atau amanah yang terpikul di atas bahu kita yang cenderung ke dalam lapangan kesenian ini. Walau dalam apa pun jua bentuknya kesenian itu, tanggungjawab dan amanah itu tetap saja ada.

Aku tidak berhajat untuk memperjelaskan secara terperinci tentang kesenian itu di dalam tulisan ini. Melainkan terdahulunya, tulisan ini aku bangkitkan sebagai pengenalan semata. Insyaallah pada kesempatan yang lain, aku akan cuba memperhalusinya pula. Di sini biarlah aku menyatakan tentang kaitannya kesenian itu dengan rasa jiwa manusia terlebih dahulu.

Siapa pun tidak akan dapat menafikan bahawa kesenian itu adalah suatu wadah yang dapat meruntun manusia mengenali rasa jiwa dalam dirinya. Hatta pada ketika berzikir sekali pun, ada seninya yang tersendiri jika kita benar-benar menghayati. Lalu apa sebenarnya kesenian itu..? Nah, jawapannya adalah kesenian itu merupakan terjemahan yang terbit dari kehalusan rasa jiwa, perasaan, emosi, akal fikiran dan gerak perbuatan manusia. Dan kemudian apabila kita memperhalusinya lagi, dari mana datangnya semua itu..? Maka jawabnya adalah dari TUHAN. Ditanya lagi, untuk apa semua itu..? Jawabnya sudah pasti adalah, sebagai salah satu dari pelbagai lapangan jalan untuk hamba kembali kepada Sang Pencipta-Nya.

Jesteru, mengapa kesenian itu disalahertikan atau disalahgunakan..? Mengapa tidak kesenian itu diisi dengan hal-hal yang membawa kepada rasa kedekatan hati hamba dengan Tuhan..? Inilah yang harus kita perbetulkan kembali. Di dalam lapangan kesenian apa pun, wajib diruntun menuju kepada pencipta-Nya. Bukan lagi memenuhi kehendak rasa nafsu keseronokan yang lara, khayal atau sia-sia. Kesenian itu harus dicorak, demi untuk mewujudkan kelestarian kemanusiaan menuju kepada berkat ke-Tuhanan yang Haq. Bukan lagi kepentingan peribadi-peribadi, kepentingan ideologi-ideologi, atau kepentingan-kepentingan duniawi yang lainnya. Nah, di sinilah kita harus kembali melangkah mula. Sebelum kita mengatur gerak dalam perlaksanaannya. Amin. Sekian.