Akal fikir ku selalu menayakan aku, apakah aku jujur dan ikhlas dalam melewati dunia seni yang aku ceburi..? Apakah sahabat-sahabat yang lain juga jujur dan ikhlas dalam perjuangan yang sama..? Aku melihat.., aku mendengar.., aku merasai dan aku melalui... Apa yang nampak adalah kehampaan dalam persoalan kejujuran dan keikhlasan itu.
Bagi aku, kejujuran dan keikhlasan adalah paksi dalam hidup. Walau dalam lapangan apa pun, kejujuran dan keikhlasan itu adalah tapak dasar yang terutama. Kejujuran dan keikhlasanlah tali pengkitat ke-eratan dalam memacu sama sesuatu lapangan. Tanpanya, apa pun akan goyah dan akan pula mudah runtuh.
Dalam dunia kesenian sinema, hal ini tidak terkecuali dari kewajipan untuk diamalikan. Gunanya untuk menghasil karya teragung, dari segala sudut apa pun yang berkaitan dengannya. Bermula dari sudut pemodal (producer & pentadbiran), tenaga-tenaga kreatif (pengarah & produksi), mahu pun para pelakon, Kejujuran dan keikhlasan hati jangan sampai terlepas pandang. Kerana kebanyakkan dari masalah-masalah yang sering berlaku dalam pembikinan kesenian sinema, adalah kerana rendah atau hilangnya sifat kejujuran dan keikhlasan hati para penggiatnya. Sehingga bermaharajalela-lah kezaliman, penipuan, pembohongan, dan ketidakadilan yang akhirnya membawa kepada kesulitan dan kegagalan. Lebih mendukacitakan lagi, sifat-sifat khianat yang lahir dari hati yang tidak jujur dan ikhlas ini seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan dan budaya dalam industri sinema. Inikah yang kita inginkan sebenarnya..?
Alangkah indahnya jika usaha untuk membikin sinema itu di dasari dengan kejujuran dan keikhlasan. Jujur dan ikhlas dalam berkarya, jujur dan ikhlas dalam hubungan peribadi dengan peribadi, jujur dan ikhlas dalam ilmu kesenian sinema, serta jujur dan ikhlas dengan tugas-tugas yang terpikul di atas bahu-bahu. Jujur dan ikhlas akan dapat mewujudkan kerjasama yang erat, hubungan yang tidak menilai darjat, dan tolak ansur dalam menghadapi kekurangan. Jauh dari itu, jujur dan ikhlas akan dapat dilihat di akhir karya sesebuah sinema. Dapat dikongsi dan dihayati dengan tidak ada cacat cela.
Renungkanlah dengan mendalam akan perihal ini. Tak perlu aku bercakap dan menyelak aib satu persatu peribadi. Kerana masing-masing faham dan sudah melalui. Kecuali mereka yang masih terikat dengan kepentingan-kepentingan peribadi yang berhati mati. Wariskanlah sesuatu yang indah pada generasi yang bakal datang. Bukan meninggalkan bekas hitam untuk mereka bersihkan. Yang kemudian nanti kita juga yang akan dipersalahkan. Kerana kecuaian dan kegagalan dalam membentuk tamadun yang boleh dipandu zaman. Sekian.
-002.jpg)
No comments:
Post a Comment